islam.iman.net

Solat lima waktu

  1. Solat atau sembahyang ialah ibadat khusus menyembah Allah SWT.

  2. Ada dua jenis solat iaitu:

    1. solat fardu (solat lima waktu), dan

    2. solat-solat sunat.

  3. Hukum solat fardu lima waktu ini adalah wajib ke atas umat Islam yang telah baligh dan berakal.

  4. Solat lima waktu ialah solat-solat di lima waktu yang berbeza dalam satu hari iaitu solat Subuh, solat Zohor, solat Asar, solat Maghrib dan solat Isyak.

  5. Waktu SolatJumlah rakaat
    1Solat Subuh2
    2Solat Zohor4
    3Solat Asar4
    4Solat Maghrib3
    5Solat Isyak4
    Jumlah rakaat17
  6. Melalui solat fardu, pada setiap hari setiap umat Islam melakukan 17 rakaat solat, membaca al-Fatihah 17 kali, rukuk 17 kali, dan sujud menyembah Allah SWT sebanyak 34 kali.

  7. Ibadah solat lima waktu difardukan ketika peristiwa Israk dan Mikraj iaitu pada 27 Rejab, setahun sebelum peristiwa Hijrah.

  8. Inilah satu-satunya syariat Islam yang diarahkan oleh ALlah SWT terus kepada Nabi Muhammad s'a.w dan bukan melalui Malaikat Jibrail.

  9. Ia juga merupakan satu-satunya syariat yang diterima oleh Nabi Muhammad s'a.w di Sidratul Muntaha di langit yang ketujuh dan bukan di bumi.

  10. Solat adalah tiang agama. Nabi Muhammad s'a.w telah bersabda dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Baihaqi yang bermaksud:

    "Solat itu tiang agama, maka sesiapa mendirikannya maka ia telah mendirikan agama, dan sesiapa meninggalkannya, maka sungguh ia meruntuhkan agama."

  11. Solat mencegah kemungkaran. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Qur'an yang bermaksud:

    "Bacalah apa yang telah diwahyukan kepadamu, iaitu al-Kitab (al-Quran) dan dirikanlah solat. Sesungguhnya solat itu mencegah daripada (perbuatan) keji dan mungkar. Dan sesungguhnya mengingati Allah (solat) adalah lebih besar (keutamaannya daripda ibadat yang lain). Dan Allah Maha Mengetahui apa yang kamu lakukan."

    (Surah al-Ankabut: 45)
  12. Solat adalah untuk mengingati Allah SWT. Allah SWT telah berfirman dalam Al-Qur'an yang bermaksud:

    "Sesungguhnya Aku ini adalah Allah, tidak ada Tuhan (yang berhak disembah) selain Aku, maka sembahlah Aku dan dirikanlah solat untuk mengingati Aku."

    (Surah Taha: 14)
  13. Di akhirat kelak semasa kita dihisap (dikira segala amal baik dan buruk), solat ialah perkara pertama yang akan ditanya kepada semua umat manusia. Terdapat satu hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi yang bermaksud:

    "Perkara pertama yang akan dihisab pada diri seseorang pada Hari Akhirat daripada sekalian amalnya ialah solatnya. Jika solatnya baik maka dia akan berjaya dan menang, jika solatnya rosak maka dia akan rugi serta menyesal."

  14. Solat sunat adalah solat-solat lain di luar dari solat fardhu. Hukum melakukannya adalah sunat (dibuat dapat pahala, ditinggalkan tidak berdosa). Solat-solat sunat ini datang kerana sesuatu keperluan. Misalnya untuk melengkapkan solat fardhu, untuk memohon hajat, untuk menyatakan kesyukuran, untuk bertaubat, untuk menghindari dari bencana dan mala petaka dan yang seumpama dengannya.

    Kebanyakan solat sunat tidak terikat dengan tempoh masa. Misalnya solat sunat hajat boleh dibuat pada hampir setiap masa. Sebaliknya ada solat sunat yang terikat dengan masa. Misalnya solat sunat isyraq

Waktu solat fardhu lima waktu

Ada lima waktu solat iaitu waktu Subuh, waktu Zohor, waktu Asar, waktu Maghrib dan akhir sekali waktu Isyak.

Susunan solat-solat lima waktu ini diajarkan sendiri oleh Malaikat Jibrail a.s. kepada Nabi Muhammad s'a.w.

Pembahagian zon-zon solat lima waktu ini adalah berdasarkan peredaran matahari. Oleh itu waktu solat di seluruh dunia adalah piawai.

Waktu solatTempoh
SubuhBermula apabila telah naik fajar sadiq (cahaya putih) yang terpancar melintang di ufuk timur. Tamat apabila terbitnya matahari (syuruk)
ZohorBermula apabila tergelincir matahari dari kedudukan tengah langit (bayang-bayang mula bergerak ke arah timur). Tamat apabila bayang-bayang suatu benda (misalnya tiang) menyamai panjangnya (panjang bayang-bayang sama dengan panjang tiang).
AsarBermula apabila bayang-bayang sesuatu objek (misalnya tiang) mula menjadi lebih panjang dari objek berkenaan. Tamat apabila matahari mula terbenam di kaki langit. Di Malaysia yang berada di garisan lintang Khatulistiwa, waktu Isyak adalah waktu solat yang paling panjang.
MaghribBermula apabila matahari terbenam (hilang seluruh bentuk bulatnya) di kaki langit barat. Tamat apabila telah hilang cahaya kemerahan di kaki langit tadi.
IsyakBermula apabila telah hilang cahaya merah di kaki langit (barat). Tamat apabila telah terbit fajar sadiq (cahaya putih di ufuk timur).

Semua waktu dalam tempoh sehari suntuk (24 jam) adalah waktu sembahyang fardhu, kecuali tempoh waktu dari waktu syuruk hingga masuk waktu Zohor. Tempoh masa ini tidak menjadi waktu solat.

Rukun-rukun solat fardhu

Ada 13 rukun solat. Tidak sah solat jika meninggalkan salah satu dari rukun-rukun solat.

Rukun-rukun solat mengikut susunan (dari mula hingga akhir) adalah seperti berikut:

  1. Niat

  2. Berdiri tegak (atau berdiri betul)

  3. Takbiratul ihram

  4. Bacaan Fatihah

  5. Rukuk

  6. I'tidal

  7. Sujud

  8. Duduk antara dua sujud

  9. Duduk tahiyat akhir

  10. Bacaan tahiyat akhir

  11. Selawat dalam tahiyat akhir

  12. Memberi salam

  13. Tertib

Secara lebih terperinci, semua 13 rukun solat ini terbahagi kepada tiga kelompok iaitu yang melibatkan perbuatan tubuh badan (pergerakan fizikal), yang melibatkan sebutan dan bacaan ayat-ayat tertentu, dan yang melibatkan bisikan dalam hati.

Jenis RukunBerasaskan kepadaRukun Solat
1. Rukun qalbibisikan hati
  • Niat
2. Rukun fi'liperbuatan (pergerakan tubuh badan)
  • berdiri tegak
  • rukuk
  • i'tidal
  • sujud
  • duduk antara dua sujud
  • duduk tahiyat akhir
  • tertib
3. Rukun qaulisebutan / bacaan
  • takbiratul ihram
  • bacaan al-Fatihah
  • bacaan tahiyat akhir
  • selawat ke atas Nabi
  • beri salam

Rukun 1: Niat

Solat dimulakan dengan niat. Tiada solat tanpa niat. Boleh niat dalam bahasa Melayu sahaja pun. Perkara penting yang perlu ada dalam niat ialah:

  • nyatakan solat fardu atau sunat

  • nyatakan mengikut imam (jika solat jemaah)

  • nyatakan waktu solat (Subuh, Zohor, Asar, Maghrib atau Isyaq)

  • nyatakan jumlah rakaat

  • kerana Allah Taala

Rukun 2: Berdiri tegak

Berdiri tegak atau berdiri betul maksudnya adalah badan tidak senget, tidak condong, atau tidak menyamai rukuk. Berdiri tegak jugak bermakna tidak bergoyang-goyang. Rukun berdiri tegak ini adalah dalam keadaan normal orang yang sihat tubuh badan dan tidak sakit atau lumpuh atau sakit tidak boleh berdiri.

Rukun ini tidak diberatkan kepada orang yang betul-betul tidak mampu melakukannya, seperti orang yang cacat anggota, orang yang baru ditimpa kemalangan dan kes-kes yang seumpamanya.

Rukun 3: Takbiratul ihram

Seseorang itu telah masuk ke dalam 'alam solat' dengan takbiratul ihram. Keadaan 'sedang berkomunikasi dengan Allah' telah bermula. Sebutan Allahu Akbar adalah wajib. Kedua-dua tangan diangkat hingga ke paras antara atas bahu dengan telinga. Bacaan iftitah selepas takbiratul ihram adalah sunat.

Takbiratul ihram adalah selepas niat dan berdiri tegak.

Rukun 4: Membaca Fatihah

Surah Al-Fatihah adalah satu-satunnya surah yang wajib dibaca dalam solat atau dalam setiap rakaat solat. Bacaan surah-surah lain selepas bacaan Al-Fatihah adalah sunat sahaja.

Membaca Al-Fatihah adalah rukun qauli (sebutan /bacaan) dan bukan rukun qalbi (bisikan hati). Oleh itu, tidak boleh membaca Al-Fatihah dalam hati. Perlu disebut atau dilafaz sekurang-kurangnya didengari oleh telinga sendiri (seperti berbisik).

Bacaan Al-Fatihah adalah dalam bahasa Arab sahaja.

Rukun 5: Rukuk

Rukuk ialah membongkokkan badan dan tapak tangan berada di atas lutut. Jari-jari tangan di lutut tadi dijarangkan. Bahagian belakang badan dan leher dalam keadaan lurus selari dengan lantai. Mesti ada tama'ninah iaitu berhenti seketika sebelum kembali berdiri tegak. Sunat membaca Subhana rabbiyal 'azimi wabihamdih (Maha Suci Tuhanku yang Maha Agung dan Maha Terpuji).

Rukun 6: I'tidal

I'tidal ialah kembali berdiri tegak selepas selesai rukuk dan disertai dengan tama'ninah (diam seketika).

Rukun 7: Sujud

Semasa bersujud perlu ada tujuh bahagian anggota tubuh badan yang menyentuh lantai iaitu dahi, kedua tapak tangan, kedua-dua lutut, dan kedua-dua hujung tapak kaki. Kedua-dua lengan tidak rapat di lantai. Ini kerana keadaan kedua-dua lengan yang rapat di lantai adalah menyamai posisi haiwan. Wajib tama'ninah semasa sujud. Sunat membaca Subhana rabbiyal a'laa wabihamdih. Semasa bersujud, punggung mestilah lebih tinggi dari kepala.

Semasa sujud, dahi tidak boleh dilapisi dengan pakaian atau apa-apa sahaja yang 'melekat'di badan atau di kepala. Contohnya ialah kain tudung (wanita) atau kain selepang (lelaki). Bahagian songkok atau lebai atau ketayap juga tidak boleh menjadi penghalang sentuhan dahi ke lantai. Ini kerana bahagian-bahagian songkok atau lebai atau ketayap tadi adalah 'pakaian' yang akan 'mengikut' kepala naik ke atas selepas sujud.

Rukun 8: Duduk antara dua sujud

Setiap rakaat solat ada dua kali sujud. Wajib duduk seketika antara dua sujud tadi.

Rukun 9: Duduk tahiyat akhir

Duduk tahiyat akhir ialah keadaan duduk selepas sujud yang kedua dalam rakaat akhir, dan sebelum memberi salam.

Ada tiga rukun solat dalam rukun duduk tahiyat akhir ini iaitu

  1. duduk tahiyat akhir
  2. bacaan selawat
  3. memberi salam

Rukun 10: Membaca tahiyat akhir

Bacaan tahiyat akhir adalah bacaan kedua yang wajib di buat (menjadi rukun) selain dari bacaan Fatihah. Wajib dibaca sebelum memberi salam. Bacaan tahiyat akhir adalah semasa duduk tahiyat akhir.

Rukun 11: Selawat dalam bacaan tahiyat

Selawat kepada Nabi Muhammad s'a.w

Rukun 12: Memberi Salam

Bacaan salam ialah assalamualaikum warahmatullah sambil menoleh ke kanan. Sunat untuk meberi salam kedua. Walau bagaimanapun, bacaan salam yang pertama tadi sebenarnya sudah pun menamatkan ibadat solat.

Rukun 13: Tertib

Maksud tertib adalah melakukan solat mengikut turutan iaitu yang dimulai dengan niat dan disudahi dengan salam. Sebagai contoh, tertib dalam solat Subuh adalah niat, berdiri tegak, yang diikuti dengan takbiratul ihram, membaca Fatihah, rukuk, i'tidal, sujud pertama, duduk antara dua sujud, sujud kedua, berdiri tegak semula untuk membaca Fatihah, rukuk rakaat kedua, i'tidal sekali lagi, sujud pertama, duduk antara dua sujud, sujud kedua, duduk tahiyat akhir, bacaan tahiyat akhir, bacaan selawat dalam tahiyat akhir, diakhiri dengan memberi salam.


Rukun Islam


Mengucap kalimah syahadah

Solat lima waktu

Puasa Ramadan

Keluarkan Zakat

Megerjakan Haji (jika mampu)

Rukun Iman


Percaya pada Allah

Percaya pada para Malaikat

Percaya pada kitab-kitab Allah

Percaya pada Nabi dan Rasul

Percaya pada Hari Kiamat

Percaya pada qada' dan qadar

Ihsan


Maksud Ihsan