islam.iman.net

Ihsan

Dia berkata lagi: Terangkanlah kepadaku tentang ihsan. Baginda bersabda:

Ihsan itu ialah bahawa engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihat-Nya. Sekiranya engkau tidak dapat melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.

Berdasarkan kepada petikan dari Hadis Jibrail di atas, dapat disimpulkan bahawa ada dua tahap ihsan iaitu:

  1. seseorang yang melakukan ibadat dalam keadaan seolah-olah dia dapat melihat Allah

  2. seseorang yang melakukan ibadat dalam keadaan di mana dia rasa Allah sentiasa memerhatikannya

Unsur penting dalam ihsan ialah nilai keikhlasan seseorang apabila beribadat kepada Allah. Segala gerak laku ibadatnya dan gerak hatinya semasa beribadat adalah ikhlas untuk Allah dan bukan kerana orang sekeliling atau kerana peraturan setempat atau kerana ada penonton yang sedang memerhatikan.

Tiada unsur keterpaksaan dalam nilai ihsan. Melakukan sesuatu atau tidak adalah hanya kerana keinginan hatinya dan bukan kerana disuruh-suruh atau diancam oleh manusia di sekelilingnya.

Ringkasnya, umat Islam melakukan semua lima rukun Islam dan enam rukun iman dengan ikhlas kerana Allah dan untuk Allah.

Walau bagaimanapun, nilai ihsan dalam beribadat bukanlah penentu sah atau terbatal ibadat seseorang. Ihsan dalam ibadat hanyalah ukuran keikhlasan melakukan ibadat.

Rukun Islam


Mengucap kalimah syahadah

Solat lima waktu

Puasa Ramadan

Keluarkan Zakat

Mengerjakan Haji (jika mampu)

Rukun Iman


Percaya pada Allah

Percaya pada para Malaikat

Percaya pada kitab-kitab Allah

Percaya pada Nabi dan Rasul

Percaya pada Hari Kiamat

Percaya pada qada' dan qadar