islam.iman.net

Kalimah Syahadah

  1. Mengucap dua kalimah syahadah ialah Rukun Islam yang pertama.

  2. Kalimah syahadah yang dimaksudkan ialah:

    Aku bersaksi bahawa tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah
    Dan aku bersaksi bahawa Nabi Muhammad adalah utusan Allah
  3. Syahadah bermakna penyaksian atau pengakuan seseorang terhadap sesuatu. Sama seperti ikrar yang dilakukan oleh seseorang.

  4. Dalam konteks ini, syahadah bermakna penyaksian atau pengakuan seseorang terhadap Allah sebagai satu-satunya Tuhan yang layak disembah, dan Nabi Muhammad s'a.w sebagai utusan-Nya (Rasul).

  5. Mengucapkannya di mulut namun mengiakannya adalah dari hati. Kesedaran dan keikhlasan di hati melahirkan lafaz di mulut.

  6. Orang yang ikhlas melafazkan syahadah ialah orang yang mendengar lafaznya di mulut dan turut mendengar dan mengiakan lafaz hatinya.

  7. Dalam bahasa pasar yang telah menjadi kebiasaan orang ramai, orang akan kata 'mengucap' atau 'bawa mengucap' yang sebenarnya bermaksud lafazkan dua kalimah syahadah tersebut.

  8. Lafaz dua kalimah syahadah ini menjadi lengkap apabila:

    • diucapkan dengan lidah
    • dibenarkan (mengiakan) dengan hati
    • dilaksanakan dengan anggota

Pengertian sebenar bila mengucap

Pengertian sebenar bila seseorang itu mengucap (melafazkan dua kalimah syahada) ialah, antara lain..

  1. Mengaku bahawa Tuhan kita hanya Allah dan bukan benda-benda lain atau pihak lain atau kuasa lain.

  2. Menafikan kewujudan 'tuhan-tuhan' lain atau kuasa-kuasa lain. Tiada tuhan lain selain Allah.

  3. Mengaku akan mematuhi syariat Allah (al-Quran) dan ajaran Rasul (Sunnah Nabi).

  4. Yakin dan sedar bahawa Allahlah yang mengatur segala sesuatu di dunia ini kerana Allah ialah Tuhan Sekelian Alam.

  5. Bersedia untuk mematuhi syariat Islam dan Sunnah Nabi. Malangnya, terlalu ramai umat Islam yang 'bersedia' untuk mematuhi syariat namun 'belum lagi' mematuhi syariat.

Bukan sekadar lafaz di bibir

Kalimah syahadah atau 'mengucap' bukanlah sekadar lafaz semata-mata. Kalau lafaz semata-mata maka tiadalah ertinya.

  1. Kena tahu dan faham apa yang diucapkan - iaitu Allah ialah satu-satunya Tuhan dan tiada kuasa lain yang layak disamakan dengan Allah, dan Nabi Muhammad s'a.w itu ialah Rasul atau Pesuruh Allah.

  2. Kena yakin (tanpa keraguan) sepenuhnya bahawa hanya Allah itu Tuhan dan tidak perlu lagi kuasa-kuasa yang lain untuk disembah atau menjadi tempat meminta pertolongan. Juga kena yakin bahawa Nabi Muhammad s'a.w. itu adalah pesuruh Allah yang membawa ajaran Islam yang perlu dipatuhi oleh umat Islam.

    Apa contoh tidak yakin? Contohnya ialah orang yang berjumpa bomoh untuk mendapatkan pelaris perniagaan, atau untuk membantunya supaya cepat naik pangkat. Orang ini 'tidak yakin' atau 'kurang yakin' dengan Allah sebagai Tuhan tempat kita memohon pertolongan. Lebih kurang macam itulah.

  3. Kena laksanakan, iaitu mematuhi syariat Islam (arahan Allah) seperti mana yang difirmankan Allah melalui al-Qur'an, dan mematuhi ajaran Nabi Muhammad s'a.w. melalui sunnahnya.


Imej kalimah syahadah diambil dari www.rumahamallimpahankasih.org/

Rukun Islam


Mengucap kalimah syahadah

Solat lima waktu

Puasa Ramadan

Keluarkan Zakat

Mengerjakan Haji (jika mampu)

Rukun Iman


Percaya pada Allah

Percaya pada para Malaikat

Percaya pada kitab-kitab Allah

Percaya pada Nabi dan Rasul

Percaya pada Hari Kiamat

Percaya pada qada' dan qadar

Ihsan


Maksud Ihsan