islam.iman.net

Percaya kepada Malaikat

Rukun iman yang kedua ialah percaya kepada Malaikat. Maksud percaya kepada malaikat ialah meyakini bahawa malaikat itu wujud dan dicipta oleh Allah untuk menjalankan tugas-tugas yang diperintahkan kepadanya.
  1. Malaikat adalah sejenis makhluk yang dicipta oleh Allah yang mempunyai sifat sentiasa taat, tunduk dan patuh kepada Allah.
  2. Tugas malaikat adalah untuk menjalankan semua perintah Allah.
  3. Malaikat dijadikan daripada cahaya.
  4. Malaikat adalah makhluk yang mulia dan terpelihara daripada maksiat.
  5. Malaikat tidak ada jantina. Maknanya, malaikat bukan lelaki dan bukan juga perempuan.
  6. Malaikat tidak berkahwin. Oleh itu tidak ada malaikat yang menjadi suami atau isteri.
  7. Oleh kerana malaikat tidak berkahwin, maka malaikat juga tidak ada ayah atau emak, apatah lagi datuk atau nenek atau cucu. Dalam erti kata lain, malaikat tidak ada keturunan seperti manusia.
  8. Malaikat sentiasa dalam keadaan berjaga. Malaikat tidak tidur, tidak makan atau minum.
  9. Malaikat mampu menjelma kepada apa sahaja rupa bentuk yang dikehendaki dengan izin Allah.
  10. Malaikat adalah sejenis makhluk ghaib, yang tidak diketahui keadaan mereka oleh pancaindera manusia kecuali apabila mereka menjelmakan diri atau menyerupai benda atau makhluk lain yang manusia boleh melihatnya.
  11. Tidak pernah orang melihat malaikat secara tidak sengaja. Manusia boleh melihat malaikat hanya apabila malaikat itu sendiri menampakkan diri mereka atau menyerupai makhluk-makhluk lain supaya dapat dilihat oleh manusia.
  12. Malaikat ada bersama manusia tetapi manusia tidak dapat melihat malaikat.
  13. Malaikat mempunyai kekuatan yang sangat luar biasa dengan izin Allah.
  14. Malaikat mampu naik turun dari langt ke bumi dan sebaliknya tanpa masalah.
  15. Jumlah malaikat sangat banyak dan tidak mampu dihitung oleh akal manusia.
  16. Malaikat adalah antara makhluk yang ditangguhkan kematiannya oleh Allah. Maksudnya, malaikat tidak mati sehinggalah ke hari kiamat kelak. Kematian mereka ditangguhkan ke hari kiamat.
  17. Tidak ada manusia di dunia ini yang pernah melihat malaikat dalam bentuknya yang asal kecuali Nabi Muhammad s'a.w.
  18. Dalam al-Qur'an Surah Fussilat ayat ke-38 diceritakan yang para malaikat yang berada di sisi Allah sentiasa bertasbih siang dan malam tanpa merasa jemu.
  19. Berdasarkan gambaran yang diberikan oleh Nabi Muhammad s'a.w, malaikat yang memikul arasy Allah adalah melaikat yang paling besar. Malaikat ini mempunyai sebanyak 2400 sayap berbanding dengan malaikat Israfil yang mempunyai 1200 sayap dan malaikat jibrail yang mempunyai 600 sayap.
  20. Dalam satu hadis riwayat Abu Dawud Nabi Muhammad menggambarkan betapa besarnya malaikat yang memikul arasy Allah. Jarak antara dua cuping telinganya dengan bahunya sama seperti jarak 700 tahun perjalanan.
  21. Setiap manusia memunyai dua malaikat di kiri dan kanannya iaitu malaikat Raqib dan Atid yang mencatatkan amalan-amalan baik dan buruk manusia.
  22. Makhluk terakhir yang dimatikan pada hari kiamat kelak ialah malaikat Israil yang mencabut nyawanya sendiri.
  23. Makhluk pertama yang dihidupkan semula selepas kiamat kelak ialah malaikat Israfil yang akan meniup sangkakala untuk menghidupkan semua makhluk yang lain.

Malaikat mempunyai sayap

  1. Malaikat mempunyai sayap yang berbeza-beza jumlahnya.

  2. Nabi Muhammad s'a.w pernah menceritakan yang malaikat Jibrail mempunyai 600 sayap iaitu 300 sayap di kirinya dan 300 sayap lagi di kanannya. Apabila dibuka satu sayapnya tertutup seluruh bumi.

  3. Malaikat Israfil mempunyai 1200 sayap dan satu sayapnya sahaja sudah menyamai 600 sayap malaikat Jibrail.

  4. Malaikat yang memikul arasy Allah mempunyai 2400 sayap dan satu sayapnya sama besar dengan seluruh 1200 sayap malaikat Israfil.

Nama malaikat yang wajib diketahui

Berikut adalah 10 nama malaikat yang wajib diketahui.

MalaikatTugas
1JibrailMenyampaikan wahyu dari Allah kepada Nabi dan Rasul
2MikailMenurunkan hujan dan membawa rezeki yang telah ditentukan oleh Allah
3IsrafilMeniup sangkakala pada hari kiamat apabila diperintahkan oleh Allah
4IsrailMencabut nyawa semua makhluk
5MunkarMenyoal mayat (atau roh manusia) setelah berada dalam kubur
6NakirMenyoal mayat (atau roh manusia) setelah berada dalam kubur
7RidhwanMenjaga pintu syurga
8MalikMenjaga pintu neraka
9RaqibMencatat amalan-amalan baik manusia
10AtidMencatat amalan buruk/jahat/dosa manusia
  1. Ada sepuluh nama malaikat yang wajib diketahui oleh umat Islam. Dari sepuluh nama malaikat ini, hanya lima nama malaikat ada disebutkan dalam kitab al-Qur'an iaitu Jibrail, Mikail, Malik, Raqib dan Atid.

    Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
    "Tidaklah seseorang mengucapkan suatu perkataan, melainkan di sisinya terdapat malaikat Raqib dan Atid."
    (Surah Qaf, ayat 18)

    Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
    "Barangsiapa menjadi musuh Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya, Jibril dan Mikail, maka sesungguhnya Allah musuh bagi orang-orang kafir."
    (Surah Al-Baqarah, ayat 98)

    Allah berfirman dalam al-Quran yang bermaksud:
    "Wahai (Malaikat) Malik! Biarlah Tuhanmu mematikan kami saja." Dia menjawab, "Sungguh, kamu akan tetap tinggal (di neraka ini)."
    (Surah Al-Zukhruf, ayat 77)

  2. Dalam al-Qur'an nama malaikat Jibrail hanya disebut sebanyak dua kali sahaja. Nama lain yang digunakan dalam al-Qur'an ialah Ruhul Qudus dan Ruhul Amin.

  3. Dalam al-Qur'an nama malaikat Israil disebut sebagai malakkul maut (Malaikat Maut) sahaja.

  4. Tiga nama malaikat tidak disebutkan dalam kitab al-Qur'an namun hanya disebutkan dalam hadis iaitu malaikat Israfil, Munkar dan Nakir.

  5. Dalam hadis-hadis Nabi Muhammad s'a.w. diceritakan yang malaikat Israfil ditugaskan untuk meniup sangkalala iaitu tiupan yang mematikan seluruh makhluk yang wujud pada masa itu dan tiupan yang menghidupkan semula semua makhluk yang pernah hidup di dunia sejak Nabi Adam a.s.

    Diriwayatkan oleh Abu Hurairah bahawa Rasulullah s'a.w bersabda:
    "Sesungguhnya Allah setelah selesai menciptakan langit dan bumi, Dia menciptakan sangkakala, lalu diberikan di mulut Israfil, maka Israfil meletakkan sangkakala dimulutnya dan pandangan matanya ke arah Arasy menunggu bila diperintahkan (meniup sangkakala)."

    Aku berkata: "Wahai Rasulullah apakah sangkakala itu? Baginda menjawab "Tanduk". Aku bertanya lagi bagaimanakah bentuknya? Baginda menjawab "Sangat besar".

    Lalu baginda melanjutkan sabdanya: "Demi zat (Allah) yang mengutusku dengan kebenaran, sesungguhnya garis tengah sangkakala itu seluas langit dan bumi, yang akan ditiup dengan 3 kali tiupan. Yang pertama tiupan mengejutkan, yang kedua tiupan mematikan dan yang ketiga, tiupan kebangkitan untuk menghadap Tuhan semesta alam."

  6. Malaikat Munkar dan Nakir pula ialah sepasang malaikat yang menyoal orang yang telah mati di dalam kubur (alam barzakh).

  7. Malaikat lain yang turut disebut dalam al-Qur'an ialah malaikat Zabaniah iaitu pada ayat ke-18 Surah Al-Alaq yang bermaksud "Kami pula akan memanggil malaikat Zabaniah (untuk menyeksanya)." Malaikat Zabaniah ditugaskan untuk menyeksa orang di neraka.

  8. Dalam al-Qur'an Surah Al-Baqarah ayat ke-102 pula diceritakan tentang malaikat Harut dan Marut yang diturunkan di negeri Babil (Babylon).


Rukun Islam


Mengucap kalimah syahadah

Solat lima waktu

Puasa Ramadan

Keluarkan Zakat

Megerjakan Haji (jika mampu)

Rukun Iman


Percaya pada Allah

Percaya pada para Malaikat

Percaya pada kitab-kitab Allah

Percaya pada Nabi dan Rasul

Percaya pada Hari Kiamat

Percaya pada qada' dan qadar

Ihsan


Maksud Ihsan