islam.iman.net

Percaya pada Kitab-kitab Allah

Rukun iman yang ketiga ialah percaya kepada kitab-kitab Allah yang telah diturunkan kepada para nabi dan rasul untuk disampaikan kepada umat mereka sebagai pedoman dan panduan hidup.

Ada empat kitab yang telah diturunkan kepada para rasul iaitu:

KitabDiturunkan kepada
TauratNabi Musa a.s
ZaburNabi Daud a.s
InjilNabi Isa a.s
Al-Qur'anNabi Muhammad s'a.w

Umat Islam wajib percaya dengan penuh keyakinan bahawa kitab-kita ini adalah firman-firman Allah dan disampaikan kepada para rasul melalui malaikat Jibrail.

Percaya kepada kitab-kitab ini juga bermakna meyakini ajaran-ajaran yang terkandung di dalamnya dan menjadikan ajaran-ajaran tersebut sebagai hukum-hukum yang wajib dipatuhi.

Allah telah berfirman dalam al-Qur'an Surah An-Nisa ayat ke-136 yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan kepada kitab yang Allah turunkan kepada Rasul-Nya serta kitab yang Allah turunkan sebelumnya. Barangsiapa yang kafir kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, rasul-rasul-Nya, dan hari kemudian, maka sesungguhnya orang itu telah sesat sejauh-jauhnya."

Allah juga telah berfirman dalam al-Qur'an Surah Al-Isra ayat ke-55 yang bermaksud:

"Dan Tuhanmu lebih mengetahui siapa yang (ada) di langit dan di bumi. Dan sesungguhnya telah Kami lebihkan sebahagian nabi-nabi itu atas sebahagian (yang lain), dan Kami berikan Zabur kepada Daud."

Allah turut berfirman dalam al-Qur'an Surah Ali-Imran ayat ke-3 yang bermaksud:

"Dia menurunkan kepadamu (wahai Muhammad) Kitab suci (Al-Qur'an) dengan mengandungi kebenaran, yang mengesahkan isi Kitab-kitab suci yang telah diturunkan dahulu daripadanya, dan Dia juga yang menurunkan Kitab-kitab Taurat dan Injil".

Allah berfirman dalam al-Qur'an Surah Al-Maidah ayat ke-46 yang bermaksud:

"Dan Kami utuskan Nabi Isa Ibni Mariam mengikuti jejak langkah mereka (Nabi-nabi Bani Israil), untuk membenarkan kitab Taurat yang diturunkan sebelumnya dan Kami telah berikan kepadanya kitab Injil, yang mengandungi petunjuk hidayat dan cahaya yang menerangi, sambil mengesahkan benarnya apa yang telah ada di hadapannya dari kitab Taurat, serta menjadi petunjuk dan nasihat pengajaran bagi orang-orang yang (hendak) bertakwa."

Rukun Islam


Mengucap kalimah syahadah

Solat lima waktu

Puasa Ramadan

Keluarkan Zakat

Megerjakan Haji (jika mampu)

Rukun Iman


Percaya pada Allah

Percaya pada para Malaikat

Percaya pada kitab-kitab Allah

Percaya pada Nabi dan Rasul

Percaya pada Hari Kiamat

Percaya pada qada' dan qadar

Ihsan


Maksud Ihsan