islam.iman.net

Qada' dan Qadar

Rukun iman yang keenam ialah qada' dan qadar. Maksud beriman dengan qada' dan qadar ialah mempercayai bahawa segala sesuatu yang berlaku adalah ketentuan Allah semata-mata.

  1. Qada' ialah kehendak Allah.

  2. Qadar pula ialah takdir, atau takdir ketuhanan, atau ketentuan Allah atau ketentuan yang telah ditetapkan oleh Allah.

  3. Dalam erti kata lain, segala sesuatu yang berlaku adalah mengikut kehendak Allah (qada'), berlaku dengan kuasa Allah semata-mata, dan pengakhirannya telah pun ditetapkan oleh Allah (qadar).

  4. Segala sesuatu yang berlaku itu akan berlaku atau boleh berlaku hanya dengan izin Allah. Maknanya, sesuatu yang berlaku itu bukanlah berlaku dengan kuasa sendiri tetapi sebenarnya adalah dengan izin Allah semata-mata.

  5. Orang Islam wajib percaya bahawa Allah telah menentukan segala-galanya.

  6. Pada seseorang manusia, permulaan dan pengakhiran hidupnya atau nasibnya semuanya telah ditetapkan oleh Allah. Manusia boleh tahu apa yang sedang atau telah berlaku padanya. Namun manusia tidak tahu apa yang akan berlaku pada dirinya selepas itu. Semuanya itu adalah rahsia Allah. Manusia belum tahu tapi Allah telah pun menetapkannya.

  7. Frasa 'kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan' telah terlalu selalu kita dengar. Tanpa disedari oleh penuturnya, ini sebenarnya bertepatan dengan konsep takdir atau konsep qada' dan qadar iaitu 'Allah telah pun menentukan segala-galanya' dan manusia reda (terima dengan seikhlas hati) dengan ketentuan-ketentuan itu.

  8. Manusia tidak boleh 'melawan' takdir dan umat Islam wajib percaya kenyataan ini. Mana mungkin makhluk yang dicipta boleh melawan ketentuan yang telah ditetapkan oleh Penciptanya yang Maha Berkuasa?

    Takdir manusia telahpun ditetapkan sejak awal lagi

  9. Umat Islam wajib percaya bahawa segala takdir telah ditetapkan oleh Allah. Dalam Surah Al-Hadid ayat ke-22 Allah telah berfirman yang bermaksud:

    "Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu sendiri melainkan telah tertulis dalam kitab (Lauhul Mahfuzh) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah."

Rukun Islam


Mengucap kalimah syahadah

Solat lima waktu

Puasa Ramadan

Keluarkan Zakat

Megerjakan Haji (jika mampu)

Rukun Iman


Percaya pada Allah

Percaya pada para Malaikat

Percaya pada kitab-kitab Allah

Percaya pada Nabi dan Rasul

Percaya pada Hari Kiamat

Percaya pada qada' dan qadar

Ihsan


Maksud Ihsan