islam.iman.net
Tentang Haji / Rukun Haji dan Wajib Haji / Miqat Haji / Tawaf Rukun (Ifadhah) / Tawaf Qudum
Tawaf Wada' / Talbiah / Tahallul / Kaabah / Melontar Jamrah / Mabit di Muzdalifah / Mabit di Mina /
Contoh perjalanan Haji Tamattuk / Teras Haji - Wukuf di Arafah / Masyair Haji /


Mengerjakan haji di Mekah

  1. Haji ialah salah satu dari Rukun Islam dan hukumnya adalah wajib dilakukan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup bagi yang berkemampuan.

  2. Dari semua lima rukun Islam, hanya rukun menunaikan haji ini yang disertakan dengan syarat 'jika mampu'.

  3. Mengerjakan haji atau menunaikan haji ialah melakukan ziarah suci ke Makkah di Arab Saudi dengan tatacara tertentu yang telah ditetapkan.

  4. Haji hanya di Mekah. Oleh itu, seluruh umat Islam di dunia akan datang ke kota suci Mekah untuk menunaikan haji.

  5. Kota Madinah menjadi sebahagian dari aturcara jemaah haji bukan kerana ada ibadat haji di sana. Jemaah haji mengunjungi Madinah sebelum atau selepas menyelesaikan haji sebagai suatu ziarah suci kerana di Madinah terdapat Masjidil Nabawi, Raudhah Taman Syurga, Maqam Nabi Muhammad s'.a.w di bawah Kubah Hijau, Tanah Perkuburan Baqi' (disebut ba~kek).

  6. Lokasi-lokasi khusus haji adalah Kaabah di Masjidil Haram, Muzdalifah, Arafah, dan Mina.

Dalil perlu buat haji

Antara dalil hukum wajib mengerjakan haji ialah firman Allah SWT seperti dalam Surah al-Baqarah ayat 196, Surah al-Hajj ayat ke-27, dan Surah Ali Imran ayat ke-97.

"Dan tunaikanlah haji dan umrah kerana Allah SWT."
(Surah Al-Baqarah: 196)

"Dan serulah umat manusia untuk mengerjakan ibadat haji, nescaya mereka akan datang ke (rumah Tuhanmu) dengan berjalan kaki dan dengan menunggang berjenis-jenis unta yang kurus yang datangnya dari berbagai jalan (dan ceruk rantau) yang jauh."
(Surah al-Hajj: 27)

"...Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya dan sesiapa yang kufur (ingkar kepada kewajipan ibadat haji itu) maka sesungguhnya Allah itu Maha Kaya (tidak berhajat sesuatu pun) dari sekalian makluk."
(Surah Ali Imran: 97)

Jenis-jenis haji

Ada lima jenis haji iaitu haji fardhu, haji badal, haji sunat, haji nazar dan haji qada'. Haji yang menjadi rukun Islam ialah haji fardhu. Wajib dilakukan jika mampu. Jenis-jenis haji yang lain itu adalah haji yang dikerjakan apabila timbul keperluan yang berkaitan dengannya.

Haji FardhuHaji BadalHaji SunatHaji NazarHaji Qada'
Haji yang menjadi rukun Islam. Juga dikenali sebagai Haji Islam atau Haji Wajib. Haji Fardhu inilah yang wajib ditunaikan oleh setiap umat Islam yang berkemampuan dan telah memenuhi syarat-syarat untuk mengerjakan haji sekali seumur hidup. Haji yang dilakukan oleh orang lain (yang diberi upah) untuk seseorang yang lain yang telah meninggal dunia. Juga disebut sebagai Haji Niyabah atau upah haji Haji yang dibuat oleh orang yang telah pun menunaikan haji pada tahun-tahun sebelumnya. Juga disebut Haji Tatawwu' Haji yang wajib dilaksanakan oleh orang yang telah (atau pernah) bernazar untuk menunaikan haji kerana Allah SWT. Haji yang dilakukan sekali lagi apabila haji yang sebelumnya telah terbatal kerana meninggalkan rukun (atau rukun-rukun) haji. Haji yang telah terbatal itu disebut juga sebagai haji yang fasad.

Tingkatan ibadat haji

  1. Haji mabrur ialah tingkatan haji yang paling tinggi dan istimewa. Orang yang mencapai tahap haji mabrur akan diampunkan semua dosanya, mengekalkan ibadat hingga ke akhir hayat dan dijamin masuk syurga.

  2. Haji makhsus ialah haji yang sah diterima Allah SWT dan diampunkan semua dosa-dosanya.

  3. Haji maqbul ialah haji yang diterima.

  4. Haji mardud ialah haji yang tidak diterima Allah SWT kerana tidak memenuhi syarat dan rukunnya.

Tingkatan-tingkatan haji ini adalah hak Allah dan Allah yang menentukannya. Tidak ada siapa pun yang boleh menentukan sendiri atau mendakwa yang dia telah mendapat tingkatan haji tertentu khususnya haji mabrur. Orang yang mendakwa dia telah mendapat haji mabrur adalah orang yang sedang bermimpi atau dia seorang penipu besar.

Manusia tidak mampu menentukan sama ada hajinya itu mabrur atau tidak. Manusia hanya mampu mengharap.

Mengharapkan haji mabrur

Harapan perlu disertai dengan usaha. Antara usaha yang perlu dilakukan untuk mengharapkan haji yang mabrur ialah (antara lain):

  • buat haji ikhlas kerana Allah semata-mata dan bukan kerana sebab-sebab lain
  • tidak menunjuk-nunjuk atau riak

  • menggunakan sumber perbelanjaan yang halal

  • melaksanakan haji mengikut sunnah

  • melaksanakan haji dengan taat (pada perjalanan atau peraturannya) tanpa ada perasaan untuk mempertikaikannya (atau merungut-rungut)

  • tidak melampau-lampau (berlebih-lebihan) dalam mengerjakan kewajipan haji

  • tidak mengabaikan adab-adab haji dan sunnah-sunnahnya

  • memperbanyakkan taat, ibadat, sedekah

  • menjadi teladan (kepada orang lain) dengan memiliki budi pekerti yang baik

  • memberi sumbangan makanan sekadar kemampuannya

  • berkata-kata dengan lembut, dapat mengawal setiap cabaran yang ditempuh, bersikap berlapang dada dan pemaaf

  • selepas balik dari menunaikan haji, seseorang itu semakin mengutamakan kehidupan akhirat dan kekal (istiqamah) dalam keadaan tersebut

Syarat-syarat haji

Apabila telah cukup syarat-syarat untuk pergi haji maka seseorang itu dianggap telah layak untuk pergi haji.

Ahli sunnah waljamaah (keempat-empat mazhab Syafie, Hanafi, Hambali dan Maliki) telah bersepakat bahawa syarat-syarat untuk melayakkan seseorang untuk pergi haji fardu adalah seperti berikut:

  1. Orang Islam

  2. Sudah baligh

  3. Berakal atau waras

  4. Merdeka (bukan hamba)

  5. Istito'ah (berkemampuan)

Maksud 'berkemampuan' ialah:

  • mampu membiayai tambang pergi dan balik

  • boleh menyediakan bekalan atau nafkah yang mencukupi di sepanjang masa mengerjakan haji di Tanah Arab

  • terpilih dalam kuota haji yang ditetapkan oleh kerajaan

  • aman (tiada ancaman keselamatan) di sepanjang perjalanan pergi dan balik

  • sihat tubuh badan (semasa ingin mengerjakan haji)

  • mempunyai kesempatan masa

  • mendapat izi dari suami (bagi wanita)

  • ditemani oleh suami atau mahram atau perempuan yang thiqah iaitu yang dipercaya (bagi wanita)

Rukun dan wajib haji

Rukun-rukun haji mesti dilaksanakan. Ibadat haji dianggap tidak sah atau terbatal jika salah satu dari rukun-rukun ini tidak dilaksanakan.

Wajib haji ialah perkara-perkara yang mesti dilakukan dalam proses haji. Jika tidak dibuat (ditinggalkan), haji tetap sah, namun kena membayar dam atau menanggung dosa atau kedua-duanya sekali.

Rukun Haji

  1. Niat ihram

  2. Wukuf di Arafah

  3. Tawaf rukun (tawaf ifadhah)

  4. Saie

  5. Mencukur/menggunting rambut

  6. Tertib

Wajib Haji

  1. Niat ihram di miqat

  2. Menjaga 13 pantang larang ihram

  3. Mabit (bermalam) di Muzdalifah

  4. Melontar Jamrah Kubra

  5. Mabit (bermalam) di Mina

  6. Melontar ketiga-tiga jamrah

Cara Mengerjakan Haji

Ada tiga jenis haji berdasarkan cara melakukannya dari mula hingga akhir. Tiga jenis haji tersebut adalah Haji Ifrad, Haji Tamattuk, dan Haji Qiran.

Haji Ifrad

Haji Tamattuk

Haji Qiran

Bermaksud 'berasingan' Bermaksud 'bersenang-senang' Bermaksud 'bersama-sama'
Buat haji terlebih dahulu. Setelah selesai haji, barulah buat umrah. Semuanya dalam musim haji yang sama. Buat umrah terlebih dahulu. Selepas itu barulah buat haji. Semuanya dalam musim haji yang sama. Buat haji dan umrah serentak. Setelah haji selesai, umrah juga dianggap telah dilaksanakan sekali.
Tak perlu bayar dam Kena bayar dam Kena bayar dam

  1. Siapa yang menentukan cara mengerjakan haji?
    Jemaah itu sendiri. Pihak Tabung Haji atau mutawif tidak menentukan cara mengerjakan haji ini. Semuanya adalah terpulang pada pilihan jemaah haji masing-masing. Tidak ada peraturan yang mewajibkan buat haji tamattuk sahaja atau ifrad sahaja.

  2. Dalam kursus-kursus haji biasanya diberi penjelasan yang menyeluruh tentang selok-belok haji termasuklah tentang cara-cara mengerjakan haji.

  3. Bila perlu buat pilihan?
    Tentukan pilihan di hati sebelum melafazkan niat di miqat.

Sunat-sunat Haji

Perkara-perkara berikut bukanlah rukun dan bukan juga wajib tetapi sunat sahaja. Buat dapat pahala dan jika ditinggalkan tidak mengapa.

  1. Mandi sunat ihram

  2. Solat sunat ihram

  3. Memakai pakaian ihram yang berwarna putih

  4. Memotong kuku

  5. Membanyakkan bacaan talbiah semasa dalam ihram

  6. Mandi ketika hendak masuk ke kota Makkah

  7. Mandi ketika hendak wukuf

  8. Membanyakkan tahmid, zikir dan doa

  9. Solat sunat dua rakaat selepas selesai tawaf

  10. Lakukan tujuh pusingan tawaf secara berturut-turut

  11. Bermalam di Mina pada 9 Zulhijjah

  12. Melewatkan tempoh berada di Arafah hingga terbenam matahari (masuk waktu Maghrib) semasa wukuf

  13. Masuk ke tempat saie melalui pintu Safa

  14. Menaiki sedikit bukit Safa dan Marwah hingga sampai ke batu-batu di kaki bukit