islam.iman.net

Percaya kepada Hari Akhirat

  1. Rukun iman yang kelima ialah percaya kepada hari akhirat. Maksud percaya kepada hari akhirat ialah meyakini bahawa hari akhirat itu wujud.
  2. Allah telah berfirman dalam al-Qur'an surah al-Baqarah ayat keempat yang bermaksud:

    Dan juga orang-orang yang beriman kepada Kitab Al-Qur'an yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad), dan Kitab-kitab yang diturunkan dahulu daripadamu, serta mereka yakin akan (adanya) hari akhirat (dengan sepenuhnya).
  3. Hari akhirat ialah hari di mana semua makhluk dibangkitkan semula, diadili, dan diberikan balasan yang setimpal dengan apa yang telah dilakukannya semasa di dunia.

  4. Hari akhirat bermula selepas berlakunya kiamat.
  5. Fasa akhir hari akhirat ialah kehidupan di syurga, di neraka, atau di al-a'raf.
  6. Hari akhirat ialah kehidupan yang kekal abadi. Manusia akan hidup selama-lamanya dan tidak ada lagi kematian. Tidak ada orang mati apabila diseksa di neraka. Tidak ada orang mati di syurga.

Hari akhirat bermula selepas kiamat

  1. Hari kiamat berakhir apabila malaikat Israil mencabut nyawanya sendiri.

  2. Kematian malaikat Israil ini memulakan fasa hari akhirat yang kekal abadi.

  3. Selama 40 tahun tiada sesuatu pun yang hidup kecuali Allah SWT.

  4. Dalam tempoh hening 40 tahun ini Allah berfirman:

    "Kepunyaan siapakah kerajaan hari ini?"

    "Kepunyaan Allah yang Maha Esa lagi Maha Perkasa."

Malaikat Irafil dihidupkan semula

  1. Setelah 40 tahun berlalu, Allah menghidupkan semula malaikat Israfil.

  2. Allah memerintahkan malaikat Israfil untuk meniup sangkakala untuk menghidupkan semula seluruh makhluk yang telah mati.

Kebangkitan semula semua manusia

  1. Selepas ditiup sangkakala, semua manusia akan dihidupkan semula.

  2. Allah telah berfirman seperti dalam Surah Al-Mu'minun ayat 16 yang bermaksud:

    "Kemudian sesungguhnya kamu akan dibangkitkan hidup semula pada hari kiamat."
  3. Manusia dihidupkan semula melalui benih anak Adam yang disebut 'Ajbuz Zanbi' iaitu tulang sulbi.

  4. Nabi Muhammad s'a.w ialah orang pertama yang dihidupkan semula, yang pertama boleh memberi syafaat, dan yang pertama memberikan syafaat (Hadis riwayat Muslim 2278).

  5. Semua manusia dibangkitkan semula tanpa pakaian dan tidak berkhatan.

  6. Allah telah berfirman seperti dalam Surah Al-Anbiya ayat 104 yang bermaksud:

    "(Ingatlah) hari Kami menggulung langit seperrti menggulung lembaran surat catatan; sebagaimana kami mulakan wujudnya sesuatu kejadian, Kami ulangi wujudnya lagi; sebagai satu janji yang ditanggung oleh Kami; sesungguhnya Kami tetap melaksanakannya."
  7. Manusia dihidupkan semula dalam keadaan yang sama seperti masa dilahirkan dahulu, iaitu berkaki ayam, tidak berpakaian dan tidak berkhatan.

  8. Namun suasana yang dahsyat pada masa itu menyebabkan manusia tidak sempat untuk merasa malu sesama sendiri kerana mereka lebih risaukan tentang nasib dan keadaan diri mereka sendiri.

  9. Manusia sibuk memikirkan keadaan diri mereka sendiri dan tidak akan memperdulikan suami, isteri, anak-anak, saudara-mara atau sesiapa sahaja.

  10. Makhluk pertama yang diberikan pakaian di akhirat ialah Nabi Ibrahim a.s.

Manusia dikumpulkan di padang mahsyar

  1. Setelah semua makhluk dihidupkan semula, muncul api yang dengan bunyi seperti guruh yang menghalau makhluk yang baru dibangkitkan tadi menuju ke padang mahsyar.

  2. Manusia bergerak ke padang mahsyar dengan berbagai-bagai cara. Ada yang berjalan menggunakan kaki mereka, ada yang menunggang haiwan (binatang korban semasa mereka hidup di dunia), dan ada yang berjalan dengan muka mereka sendiri.

  3. Padang mahsyar digambarkan (melalui hadis riwayat Muslim) sebagai 'bumi yang sangat putih berbentuk bulat pipih dan datar tanpa ada tanda bagi sesiapapun di atasnya (belum pernah diduduki orang)'.

  4. Jumlah makhluk yang berkumpul di padang masyhar tersangatlah ramai dan tak terkira jumlahnya. Ini kerana semua manusia sejak Nabi Adam a.s. dan manusia yang terakhir di dunia (semasa kiamat berlaku) dihidupkan semula dan dikumpulkan bersama-sama serentak di padang masyhar.

  5. Setelah semua makhluk dikumpulkan di padang mahsyar, cahaya matahari dan bulan dilenyapkan sehingga manusia diselubungi kegelapan. Keadaan huru-hara menjadi amat dahsyat.

  6. Kemudian matahari muncul semula dengan kepanasan yang berganda-ganda sehingga dirasakan seolah-olah matahari berada sejengkal dari atas kepala. Manusia bermandikan peluh sehingga peluh menjadi lautan.

  7. Manusia akan 'berpeluh sehingga peluh mereka di bumi setinggi tujuh hasta dan menenggelamkan mereka hingga telinga.' (Hadis Riwayat Bukhari)

  8. Keadaan seperti ini berlanjutan sehingga 1000 tahun.

  9. Bagi umat Islam, tidak ada orang lain yang ingin ditemui kecuali Nabi Muhammad s.a.w seorang sahaja. Baginda akan mengenali umatnya melalui cahaya yang ada di badan mereka. Itulah cahaya yang terbit pada bahagian badan manusia yang mengambil air sembahyang (wuduk).

  10. Semua makhluk berada bawah cahaya matahari yang terik kecuali 7 golongan yang mendapat teduhan dari Arasy. Mereka ialah:

    • Pemimpin yang adil.

    • Orang muda yang taat kepada perintah Allah.

    • Lelaki yang terikat hatinya dengan masjid.

    • Dua orang yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

    • Lelaki yang diajak oleh wanita berzina, tetapi dia menolak dengan berkata "Aku takut pada Allah".

    • Lelaki yg bersedekah dengan bersembunyi (tidak diketahui orang ramai).

    • Lelaki yang suka bersendirian mengingati Allah lalu mengalir air matanya kerana takutkan Allah.

Telaga Al-Kautsar

  1. Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya setiap Nabi mempunyai al-haudh (telaga) dan mereka saling berbangga diri, siapa di antara mereka yang paling banyak peminumnya (pengikutnya). Dan sungguh aku berharap, akulah yang paling banyak pengikutnya." (Hadir Riwayat At-Tirmidzi dalam Sunan At-Tirmidzi, no. 2443).

  2. Telaga yang dikurniakan Allah untuk Nabi Muhammad s'a.w di padang masyhar ialah telaga Al-Kautsar.

  3. Telaga Al-Kautsar berbentuk empat segi (sama panjang dan lebarnya) dan jarak panjangnya adalah satu bulan perjalanan. Bau air telaga ini lebih harum dari kasturi. Warna airnya lebih putih dari susu. Rasanya lebih manis dari madu. Gayungnya lebih banyak dari bintang-bintang di langit. Orang yang minum air telaga Al-Kautsar ini tidak akan merasa haus selama-lamanya. Di telaga Al-Kautsar ada dua saluran yang tersambung ke syurga (Hadis riwayat Bukhari no. 6093, dan Muslim no. 4294).

  4. Namun ada di kalangan umat Nabi Muhammad s'a.w yang terhalang dari meminum air telaga Al-Kautsar.

  5. Rasulullah S.A.W bersabda: "Aku adalah pendahulu kalian menuju telaga. Siapa saja yang melewatinya, pasti akan meminumnya. Dan sesiapa meminumnya, nescaya tidak akan haus selamanya. Nanti akan datang beberapa orang yang aku mengenali mereka dan mereka mengenaliku, namun mereka terhalang dari menemui diriku." (HR Bukhari, no. 6528 dan Muslim, no. 4243).

  6. Dalam satu hadis lain, Rasulullah s'a.w bersabda: "Aku berkata: "Mereka termasuk umatku!" Namun muncul jawapan: "Engkau tidak mengetahui perkara yang mereka ada-adakan (bidaah) selepas sepeninggalmu." Aku pun berkata: "Pergi dari sini, pergi dari sini, bagi orang yang mengubah (ajaran agama) setelahku." (Hadis Riwayat Bukhari, no. 6097)

  7. Rasulullah S.A.W bersabda: "Sesungguhnya selepasku nanti akan ada para pemimpin yang melakukan kezaliman dan penipuan. Sesiapa pergi kepada mereka lalu membenarkan penipuan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan dapat mendatangi telagaku. Sesiapa yang tidak membenarkan pembohongan mereka dan tidak menolong kezaliman mereka, maka dia dari kalanganku dan aku dari kalangannya dan dia akan dapat mendatangi telagaku" (Hadis Riwayat Ahmad, Nasai dan Tirmidzi).

  8. Ulamak mempunyai pendapat yang berbeza-beza tentang lokasi telaga Al-Kautsar. Ada yang mengatakan ia ditemui sebelum kiraan amal. Ada yang mengatakan ia berada sebelum titian sirat. Ada pula yang berpendapat ia berada selepas titian sirat.

Syafaat Nabi

  1. Daripada Anas r.a mengatakan, baginda Rasulullah s'a.w bersabda bahawa pada Hari Kiamat Allah mengumpulkan seluruh manusia, mereka berkata: "Sekiranya kita meminta syafaat kepada Tuhan kita sehingga Dia mampu meringankan penderitaan kita di tempat kita ini.

  2. Maka mereka menemui Nabi Adam a.s dan mengutarakan hajat mereka; Engkaulah manusia yang Allah cipta dengan tangan-Nya dan Dia tiupkan ruh-Nya kepadamu, dan Dia perintahkan para malaikat untuk sujud kepadamu, maka tolonglah engkau meminta syafaat kepada Tuhan kami!

  3. Namun Nabi Adam a.s menjawab: "Di sini bukan tempatku untuk meringankan kamu." Nabi Adam a.s lalu menyebut-nyebut kesalahannya dan berkata: Datangilah Nuh, rasul pertama yang Allah utus.

  4. Maka mereka mendatangi Nabi Nuh a.s. Namun ternyata Nabi Nuh a.s juga menjawab: "Di sini bukan tempatku untuk memberi pertolongan, kemudian Nuh menyebut-nyebut kesalahannya dan berkata; pergilah kamu kepada Ibrahim yang telah Allah jadikan sebagai kekasih-Nya.

  5. Mereka pun mendatanginya (Nabi Ibrahim a.s), tetapi ia juga berkata: "Di sini bukan tempatku untuk meringankan kamu dan ia menyebut-nyebut kesalahannya kemudian berkata: "Pergilah kamu kepada Musa yang Allah telah mengajaknya bicara."

  6. Mereka pun mendatangi Nabi Musa a.s, namun Nabi Musa a.s juga mengatakan: "Saya tak berhak meringankan kamu" dan Nabi Musa a.s menyebut-nyebut kesalahan peribadinya, kemudian berkata: "Pergilah kamu kepada Isa".

  7. Mereka pun mendatangi Nabi Isa a.s dan baginda juga mengatakan: "Saya tak berhak meringankan kamu sambil berkata: "Datanglah kepada Muhammad sebab dosanya yang dahulu dan yang akan datang telah mendapat ampunan."

  8. Mereka pun mendatangiku dan aku meminta izin kepada rabbku. Ketika aku melihat-Nya, aku langsung tersungkur sujud dan Ia meninggalkanku sekehendak Allah, kemudian ada suara memanggil-manggil; "Angkat kepalamu, mintalah, kamu akan diberi, utarakan permohonan, kamu akan didengar, mintalah syafaat, kamu akan diberi."

  9. Kemudian aku angkat kepalaku dan aku memuji rabbku dengan pujian yang Dia ajarkan kepadaku. Kemudian aku memberi syafaat dan Dia memberiku batasan, kemudian aku keluarkan mereka dari neraka dan kumasukkan syurga, kemudian aku kembali dan tersungkur sujud semisalnya pada kali ketiga, keempat hingga tak tersisa di neraka selain yang ditahan oleh al-Quran.

  10. Sedang Qatadah berkata dalam hal ini dengan pandangan sehingga keabadian wajib baginya.

  11. (Hadis Riwayat Bukhari)

Manusia mencari syafaat para Nabi

  1. Oleh kerana tersangat lama menunggu di padang mahsyar, semua manusia tidak tahu berbuat apa melainkan mereka yang beriman, kemudian mereka terdengar suara "pergilah berjumpa dengan para Nabi". Maka mereka pun pergi mencari para Nabi. Pertama sekali kumpulan manusia ini berjumpa dengan Nabi Adam tetapi usaha mereka gagal karena Nabi Adam a.s menyatakan beliau juga ada melakukan kesalahan dengan Allah Subhanahu Wa Taala. Maka kumpulan besar itu kemudiannya berjumpa Nabi Nuh a.s., Nabi Ibrahim a.s., Nabi Musa a.s., Nabi Isa a.s. (semuanya memberikan sebab seperti Nabi Adam a.s.) dan akhirnya mereka berjumpa Rasullullah SAW. Jarak masa antara satu nabi dengan yang lain adalah 1000 tahun perjalanan.

  2. Lalu berdoalah baginda Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam ke hadrat Allah Subhanahu Wa Taala. Lalu diperkenankan doa baginda.

  3. Selepas itu, terdengar bunyi pukulan gendang yang kuat hingga menakutkan hati semua makhluk karena mereka sangka azab akan turun. Lalu terbelah langit, turunlah arasy Allah yang dipikul oleh 8 malaikat yang sangat besar (besarnya sejarak perjalanan 20 ribu tahun) sambil bertasbih dengan suara yang amat kuat sehingga 'Arasy itu tiba dibumi.

  4. Arasy ialah jisim nurani yang amat besar berbentuk kubah (bumbung bulat) yang mempunyai 4 batang tiang yang senantiasa dipikul oleh 4 malaikat yang besar dan gagah. Dalam bahasa mudah ia seumpama istana yang mempunyai seribu bilik yang menempatkan jutaan malaikat di dalamnya. Ia dilingkungi embun yang menghijab cahayanya yang sangat kuat.

  5. Kursi yaitu jisim nurani yang terletak di hadapan Arasy yang dipikul oleh 4 malaikat yang sangat besar. Saiz kursi lebih kecil dari 'Arasy umpama cincin ditengah padang . Dalam bahasa mudah ia umpama singgahsana yang terletak dihadapan istana.

Kiraan amal

  1. Seluruh makhluk pun menundukkan kepala karena takut. Lalu dimulailah timbangan amal. Ketika itu berterbanganlah kitab amalan masing-masing turun dari bawah Arasy menuju ke leher pemiliknya tanpa silap dan tergantunglah ia sehingga mereka dipanggil untuk dihisab. Kitab amalan ini telah ditulis oleh malaikat Hafazhah / Raqib & 'Atid / Kiraman Katibin.

  2. Manusia beratur dalam saf mengikut Nabi dan pemimpin masing- masing. Orang kafir & munafik beratur bersama pemimpin mereka yang zalim. Setiap pengikut ada tanda mereka tersendiri untuk dibezakan.

  3. Umat yang pertama kali dihisab adalah umat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam, dan amalan yang pertama kali dihisab adalah solat. Sedangkan hukum yang pertama kali diputuskan adalah perkara pertumpahan darah.

  4. Apabila tiba giliran seseorang hendak dihisab amalannya, malaikat akan mencabut kitab mereka lalu diserahkan, lalu pemiliknya mengambil dengan tangan kanan bagi orang mukmin dan dengan tangan kiri jika orang bukan mukmin.

  5. Semua makhluk akan dihisab amalan mereka menggunakan satu Neraca Timbangan. Saiznya amat besar, mempunyai satu tiang yang mempunyai lidah dan 2 daun. Daun yang bercahaya untuk menimbang pahala dan yang gelap untuk menimbang dosa.

  6. Acara ini disaksikan oleh Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dan para imam 4 mazhab untuk menyaksikan pengikut masing-masing dihisab.

  7. Perkara pertama yang diminta ialah Islam. Jika dia bukan Islam, maka seluruh amalan baiknya tidak ditimbang bahkan amalan buruk tetap akan ditimbang.

  8. Ketika dihisab, mulut manusia akan dipateri, tangan akan berkata- kata, kaki akan menjadi saksi. Tiada dolak-dalih dan hujah tipuan. Semua akan di adili oleh Allah Ta'ala dengan Maha Bijaksana.

  9. Setelah amalan ditimbang, mahkamah Mahsyar dibuka kepada orang ramai untuk menuntut hak masing-masing dari makhluk yang sedang dibicara sehingga seluruh makhluk berpuas hati dan dibenarkannya menyeberangi titian sirat.

  10. Syafaat Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam di akhirat :

    • Meringankan penderitaan makhluk di Padang Mahsyar dengan mempercepatkan hisab.

    • Memasukkan manusia ke dalam syurga tanpa hisab.

    • Mengeluarkan manusia yang mempunyai iman sebesar zarah dari neraka.

    (Semua syafaat ini tertakluk kepada izinan Allah Subhanahu Wa Taala.)
  11. Para nabi dan rasul serta golongan khawas juga diberikan izin oleh Allah untuk memberi syafaat kepada para pengikut mereka. Mereka ini berjumlah 70 000. Setiap seorang dari mereka akan mensyafaatkan 70 000 orang yang lain.

Titian sirat

  1. Titian sirat ialah titi atau jambatan yang menghubungkan padang masyhar dan syurga. Pangkalnya ialah padang masyhar dan penghujungnya ialah syurga. Titian sirat merentang di atas neraka.

  2. Walaupun disebut titi atau jambatan, titian sirat sebenarnya hanyalah seperti rambut yang dibelah tujuh. Begitulah gambaran tentang betapa halusnya titian sirat.

  3. Keseluruhan titian sirat tidak mendatar. Ia bermula dengan menaik sejauh 5000 tahun perjalanan, mendatar sejauh 5000 tahun perjalanan dan menurun sejauh 5000 tahun perjalanan juga.

  4. Setelah berhasil dihisab, manusia akan mula berjalan menuju syurga melintasi jambatan sirat. Siratal Mustaqim ialah jembatan (titian) yang terbentang dibawahnya neraka. Lebar jembatan ini adalah seperti sehelai rambut yang dibelah tujuh dan ia lebih tajam dari mata pedang. Bagi orang mukmin ia akan dilebarkan dan dimudahkan menyeberanginya.

  5. Fudhail bin Iyadh berkata perjalanan di Sirat memakan masa 15000 tahun. 5000 tahun menaik, 5000 tahun mendatar dan 5000 tahun menurun. Ada makhluk yang melintasinya seperti kilat, seperti angin, menunggang binatang korban dan berjalan kaki. Ada yang tidak dapat melepasinya disebabkan api neraka senantiasa menarik kaki mereka, lalu mereka jatuh ke dalamnya.

  6. Para malaikat berdiri di kanan dan kiri siratal mustaqim mengawasi setiap makhluk yang lalu. Setiap 1000 orang yang meniti siratal mustaqim, hanya seorang saja yang brrhasil melaluinya. 999 orang akan terjatuh ke dalam neraka.

Menjadi penghuni syurga atau neraka

  1. Destinasi terakhir manusia di alam akhirat adalah sama ada di neraka atau syurga.

  2. Orang kafir akan kekal tinggal di neraka dan menjadi antara bahan bakar di neraka.

  3. Orang Islam pula ada yang akan diseksa di neraka sebelum dikeluarkan dan dihantar ke syurga.

  4. Penduduk neraka dan syurga tidak akan mati-mati sampai bila-bila.

Al-A'raf

  1. Makna Al-A'raf ialah 'tempat tertinggi' iaitu satu kawasan seperti tembok pemisah antara syurga dan neraka yang didiami oleh golongan manusia yang mempunyai jumlah dosa dan pahala yang sama banyak. Oleh kerana jumlah dosa dan pahala mereka seimbang (sama banyak) maka mereka tidak cukup syarat untuk dihumbankan ke neraka namun belum juga lagi layak untuk ke syurga. Jadi golongan seperti ini tinggal di atas tembok Al-A'raf.

  2. Dalam kitab suci Al-Qur'an Surah Al-A'raf ayat 46-47 menceritakan tentang 'tembok Al-A'raf' yang terletak antara syurga dan neraka. Di atas tembok Al-A'raf ini terdapat 'sebilangan orang lelaki'. Mereka ini kenal setiap orang penghuni syurga dan penghuni neraka melalui tanda yang ada pada semua orang itu. Mereka menyeru penghuni syurga dengan memberi salam. Apabila mereka melihat penghuni neraka mereka terus berdoa kepada Allah supaya mereka tidak menyertai penghuni neraka berkenaan.

  3. Penduduk Al-A'raf digelarkan 'Ashaabul A'raf'.

  4. Mereka telah pun melintasi titian sirat namun belum boleh masuk ke syurga lagi.

  5. Imam Al-Qurtubi menjelaskan bahawa Al-A'raf ialah suatu tempat yang ditinggikan yang menyebabkan penduduknya dapat melihat orang ramai yang sedang melalui titian sirat.

  6. Surah Al-A'raf dalam kitab suci Al-Qur'an ialah surah ke-7, mempunyai 206 ayat, 3346 perkataan dan 14,437 huruf. Surah ini termasuk dalam kelompok surah assab 'uththiwaal iaitu tujuh surah yang panjang. Surah Al-A'raf diturunkan di Makkah (ayat Makkiyah).

  7. Dalam ayat 46 surah ini diceritakan tentang keadaan orang yang berada di atas Al-A'raf iaitu tempat yang tertinggi di batas syurga dan neraka.


Rukun Islam


Mengucap kalimah syahadah

Solat lima waktu

Puasa Ramadan

Keluarkan Zakat

Megerjakan Haji (jika mampu)

Rukun Iman


Percaya pada Allah

Percaya pada para Malaikat

Percaya pada kitab-kitab Allah

Percaya pada Nabi dan Rasul

Percaya pada Hari Akhirat

Percaya pada qada' dan qadar

Ihsan


Maksud Ihsan