islam.iman.net

Puasa di bulan Ramadan

  1. Puasa Ramadan (puasa di bulan Ramadan) adalah satu satu dari Rukun Islam.

  2. Puasa Ramadan ialah puasa wajib yang mesti dilaksanakan di sepanjang bulan Ramadan.

  3. Dalam sepanjang bulan ini, umat Islam diwajibkan menahan diri dari makan dan minum serta segala perbuatan yang boleh membatalkan puasa tersebut mulai dari terbit fajar sehinggalah terbenam matahari.

  4. Dari segi syarak, puasa bermaksud menahan diri dari berbuka pada masa yang tertentu iaitu bermula dari terbit fajar hingga terbenam matahari untuk orang tertentu dengan disertakan niat.

  5. Beza puasa Ramadan dengan puasa wajib yang lain

  6. Puasa wajib di bulan Ramadan tidak sama dengan puasa-puasa sunat yang lain. Ini kerana hanya puasa Ramadan:

    • wajib berpuasa berturut-turut selama 29 atau 30 hari di sepanjang bulan tersebut

    • mempunyai solat sunat terawih yang dilakukan selepas selesai solat Isyak setiap malam

    • diraikan atau ditutup dengan suatu perayaan besar umat Islam iaitu idulfitri (hari raya puasa)

    • mempunyai malam yang sangat mulia iaitu malam Lailatur Qadar

  7. Bila disyariatkan

  8. Puasa Ramadan disyariatkan pada 10 Syaaban tahun 2 Hijrah dengan turunnya al-Qur'an ayat 183 dari Surah Al-Baqarah.

  9. Hukum berpuasa di bulan Ramadan

  10. Puasa Ramadan adalah salah satu dari Rukun Islam. Hukumnya adalah wajib. Meninggalkannya mendapat dosa.

  11. Allah telah berfirman yang bermaksud:

    "Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas umat-umat yang sebelum kamu, semoga kamu menjadi orang-orang yang bertaqwa."
    (Surah Al-Baqarah: 183)
  12. Terdapat satu hadis riwayat Ahmad, An- Nasa'i dan Al-Baihaqi dari Abu Hurairah, yang bermaksud:

    "Sesungguhnya telah datang kepada kamu bulan Ramadan bulan yang penuh berkat. Allah telah fardhukan ke atas kamu berpuasa padanya. Sepanjang bulan Ramadan itu dibuka segala pintu syurga dan ditutup segala pintu neraka serta dibelenggu segala syaitan..."
  13. Tempoh berpuasa

  14. Tempoh berpuasa bermula dari waktu terbit fajar iaitu apabila masuk waktu sembahyang Subuh, sehinggalah ke waktu terbenam matahari iaitu apabila telah masuk waktu Maghrib. Jadi secara ringkasnya waktu berpuasa ialah apabila bermula waktu Subuh hingga masuk waktu Maghrib.

  15. Tempoh masa berpuasa dalam satu-satu hari ini dinyatakan dalam Surah al-Baqarah ayat 187 yang bermaksud:

    "Dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam) iaitu (waktu) fajar, kemudian sempurnakanlah puasa itu hingga waktu malam (Maghrib)".
    (Surah Al-Baqarah: 187)
  16. Secara puratanya tempoh berpuasa di Malaysia adalah 13.5 jam sahaja. Tempoh berpuasa paling singkat ialah di New Zealand dengan purata 11 jam sahaja. Tempoh berpuasa paling lama secara puratanya ialah di Greenland (21 jam), Norway (20 jam), Sweden (20 jam), Rusia (19 jam) dan Belarus (19 jam).

  17. Sahur

  18. Sahur ialah makan sesuatu di penghujung malam atau hampir waktu solat Subuh sebagai persediaan sebelum memulakan puasa.

  19. Sahur bukan wajib. Sahur adalah sunat muakkat sahaja iaitu tidak wajib buat namun amat-amat digalakkan untuk buat. Jadi tidak bersahur pun tidak mengapa.

  20. Namun bersahur banyak kebaikannya. Bersahur membekalkan tenaga untuk tubuh badan sebelum memulakan puasa. Amalan bersahur juga membezakan puasa umat Islam dengan puasa Ahli Kitab yang lain. Ini kerana Ahli Kitab berpuasa tanpa bersahur. Sahur juga membawa berkat. Ada satu hadis Nabi Muhammad s'a.w. yang bermaksud:

  21. "Bersahurlah kerana sesungguhnya pada sahur itu ada keberkatan".
    (Hadis Riwayat Bukhari)
  22. Antara sunat puasa ialah melambatkan sahur. Ini menunjukkan bahawa waktu bersahur yang dianjurkan oleh Islam adalah di penghujung malam.

  23. Waktu bersahur tamat apabila masuk sahaja waktu solat Subuh.

    "Makan dan minumlah kamu sehingga ternyata benang putih dari benang hitam dari waktu fajar, kemudian sempurnakanlah puasa sehingga waktu malam".
    (Surah al-Baqarah: 187)
  24. Imsak

  25. Di penghujung waktu sahur iaitu lebih kurang 10 minit sebelum masuk waktu Subuh ialah waktu imsak.

    Daripada Zaid bin Thabit yang bermaksud: "Kami sahur bersama Rasulullah s'a.w kemudian kami berdiri solat. Saya bertanya "berapa lama jarak antara kedua-duanya itu?", baginda bersabda '50 ayat al-Qur’an'.
    (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
  26. Nabi Muhammad s'a.w. berhenti sahur bila masuk waktu imsak. Namun Nabi Muhammad s'a.w. tidak pernah menghalang umat Islam dari meneruskan sahur dalam waktu imsak tersebut.

  27. Imsak ialah waktu 'berjaga-jaga'. Maksud berjaga-jaga ialah sebagai persediaan untuk memulakan puasa dan tidak kelam-kabut makan. Juga bermaksud supaya tidak terlajak makan sehingga masuk waktu Subuh.

  28. Bolehkah makan atau minum dalam waktu imsak? Jawapannya boleh. Ini kerana puasa masih belum bermula (belum terbit fajar). Namun adalah sunat untuk mengikut amalan Nabi Muhammad s'a.w iaitu 'menahan' diri dari makan dan minum dalam tempoh yang bersamaan dengan tempoh membaca 50 ayat al-Qur'an (iaitu lebih kurang 10 minit).

  29. Niat berpuasa

  30. Niat puasa adalah salah satu dari rukun puasa. Tiada puasa tanpa niat. Jadi kalau nak berpuasa, kena ada niat. Niat ialah menyatakan dalam hati yang kita nak buat sesuatu. Tidak wajib berniat dalam bahasa Arab. Jadi boleh niat dalam bahasa Melayu.


  31. Sahaja aku menunaikan fardu puasa esok hari (atau hari ini) dalam bulan Ramadan kerana Allah Taala.

  32. Waktu niat adalah selepas waktu Maghrib (waktu berbuka puasa) hingga sebelum masuk waktu Subuh. Boleh sahaja berniat semasa hendak tidur, selepas selesai solat terawih, atau selepas bersahur.

  33. Niat puasa Ramadan perlu dibaca setiap hari (atau lebih tepat, setiap malam). Ini adalah pegangan mazhab Syafie.

  34. Mazhab Maliki membenarkan untuk membaca niat sekali sahaja untuk sebulan. Manurut mazhab Syafie (mazhab kita di Malaysia) kena perbaharui niat setiap hari. Ini kerana puasa telah selesai pada waktu Maghrib hari berkenaan dan untuk esoknya pula adalah puasa hari yang lain pula. Jadi kenalah niatkan sekali lagi.

  35. Jadi boleh niat sebulan atau tidak? Menurut Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, boleh.

  36. Kualiti puasa

  37. Imam Abu Hamid al-Ghazali dalam bukunya Ihya al-'Ulumuddin telah membahagikan kualiti atau nilai puasa itu kepada tiga tahap iaitu:

    1. Puasa orang awam (shaum al-'umum): iaitu orang yang berpuasa dengan menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa seperti makan dan minum.

    2. Puasa orang khusus (shaum al-khusus): iaitu orang yang berpuasa tapi turut berpuasa dari segi pancaindera dan seluruh badan dari segala bentuk dosa.

    3. Puasa orang istimewa (shaum al-khawasi al-khawas): iaitu orang yang berpuasa dengan turut berpuasa hatinya, iaitu langsung tidak memikirkan soal keduniaan
  38. Syarat wajib berpuasa

  39. Hukum berpuasa bagi seseorang itu menjadi wajib apabila melepasi syarat-syarat berikut:

    1. beragama Islam

    2. berakal (tidak gila)

    3. sudah baligh (cukup umur)

    4. sihat tubuh badan (tidak uzur)

    5. bermukim di suatu tempat (tidak bermusafir)

    6. suci dari haid dan nifas (bagi wanita)

  40. Dalam erti kata lain, apabila telah masuk bulan Ramadan, orang yang tidak diwajibkan berpuasa ialah orang yang murtad (keluar dari Islam), atau orang yang jatuh gila (tiba-tiba jadi gila), atau orang yang belum cukup umur lagi, atau orang yang uzur yang membolehkan dia tidak berpuasa atas sebab-sebab kesihatan, atau orang yang bermusafir, atau wanita yang datang bulan (haid) dan nifas.

  41. Syarat sah berpuasa

  42. Puasa Ramadan yang dilakukan itu dianggap sah (diterima Allah s.w.t) sekiranya menepati syarat-syarat sah berikut:

    1. masih beragama Islam

    2. kekal berakal

    3. suci daripada haid dan nifas (bagi wanita)

    4. telah sah atau nyata masuk bulan Ramadan.
  43. Apabila seseorang itu jatuh gila, puasanya menjadi tidak sah. Ini kerana orang gila ialah orang yang tidak berakal.

  44. Kanak-kanak yang belum mumayyiz juga tidak sah berpuasa. Mumayyiz ialah keadaan kanak-kanak yang sudah dapat membezakan sesuatu yang baik dengan yang buruk yang mana lazimnya adalah dalam lingkungan umur tujuh tahun.

  45. Rukun-rukun puasa

  46. Rukun ialah perkara yang perlu dibuat untuk menjadikan puasa Ramadan itu sempurna dan boleh diterima. Ada dua rukun puasa Ramadan iaitu:

    • Niat berpuasa

    • Menahan diri dari perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.
  47. Perkara rukun adalah perkara yang wajib ada atau wajib dibuat. Jika tidak dibuat salah satu darinya pun maka seseorang itu dianggap tidak berpuasa.

  48. Perkara-perkara sunat semasa berpuasa

  49. Perkara-perkara sunat puasa ialah perkara-perkara yang kalau tidak buat tidak mengapa tetapi jika dibuat akan mendapat pahala. Antara sunat puasa adalah:

    • Segerakan berbuka puasa apabila telah masuk waktu berbuka. Maksunya apabila telah berkumandang azan yang menandakan telah masuk waktu berbuka puasa, janganlah ditangguh-tangguhkan lagi atau dilengah-lengahkan berbuka.

    • Melambatkan waktu makan sahur.

    • Menjauhi perkara-perkara maksiat.

    • Solat terawih (secara bersendirian atau berjemaah, di rumah atau di masjid).

    • Berdoa dan berzikir selepas solat witir.

    • Bertadarus Qur'an.

    • Iktikaf di masjid pada 10 malam Ramadan yang terakhir.

    • Besedekah.

    • Membaca doa semasa berbuka puasa.

    • Mulakan buka puasa dengan tiga biji kurma.
  50. Perkara-perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa

  51. Makruh bermakna jika buat tidak berdosa namun jika ditinggalkan akan mendapat pahala. Antara contoh perkara yang makruh dilakukan semasa berpuasa Ramadan ialah:

    • Berkumur-kumur semasa hampir masuk waktu berbuka.

    • Gosok gigi semasa hampir masuk waktu berbuka.

    • Memasukkan air ke dalam rongga hidung secara berlebihan.

    • Menuturkan kata-kata yang kotor, keji dan sia-sia.

    • Memandang atau mencium bunga atau buah-buahan.

    • Berbekam, jika amalan bekam itu melemahkan badan. Kalau tidak melemahkan badan maka tidak makruh.

    • Merasa makanan dengan lidah semasa memasak.

    • Mengunyah benda-benda keras atau liat seperti getah dan yang seumpama dengannya.

    • Mandi yang berlebih-lebihan.
  52. Terbatal puasa

  53. Puasa akan terbatal apabila berlaku atau melakukan perkara-perkara berikut:

    • Makan atau minum atau kedua-duanya sekali dengan sengaja.

    • Muntah dengan sengaja.

    • Bersetubuh di siang hari (semasa masih berpuasa).

    • Mengeluarkan air mani dengan sengaja.

    • Keluar darah haid atau nifas (bagi wanita).

    • Hilang akal (menjadi gila).

    • Pitam (termasuk pengsan) atau mabuk sepanjang hari.

    • Murtad (keluar dari Islam).

    • Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka di tubuh badan dengan senagaja.



Tentang puasa

  • Qada' dan fidyah

  • Kaffarah

  • Nuzul Qur'an

  • Lailatul Qadar

  • Tadarus Qur'an

  • Puasa Enam

  • Solat sunat terawih

  • Hadis tentang Ramadan